HULU SELANGOR: Sebanyak 10 jalan di sekitar pekan Kuala Kubu Bharu akan ditutup bagi memberi laluan kepada Kejohanan Lumba Basikal Le Tour De Langkawi (LTdL).

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, acara peringkat keempat yang berlangsung pada Rabu ini akan bermula dari pekan Kuala Kubu Bharu dan tamat di Bentong, Pahang dengan pelepasan dijangka jam 12 tengah hari.

“Sehubungan itu, polis akan menutup sepenuhnya jalan pada esok bagi memberi laluan kepada penganjur untuk membuat persiapan.

“Penutupan dikawal polis dan anggota Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) bagi memastikan aliran trafik lancar semasa acara berlangsung,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, jalan dan simpang yang ditutup adalah Jalan Kamaruddin, Jalan Raja Muda Jaafar, Jalan Rasathurai, Jalan Mat Kilau, Jalan Merdeka, simpang Jalan Masjid Kuala Kubu Bharu, Jalan Abdul Hamid, simpang tiga Kampung Napi, simpang lampu isyarat Dataran Kuala Kubu Bharu dan Jalan Pahang.

Beliau mengingatkan pengguna dan penduduk Hulu Selangor supaya mematuhi arahan pihak berkuasa selain merancang perjalanan atau keluar lebih awal ke destinasi.

Untuk rekod, LTdL 2024 yang bermula semalam, membabitkan lapan peringkat dengan jarak keseluruhan 1,227.2 kilometer, termasuk laluan menarik di Pulau Langkawi dan dua bandar di Sarawak, Miri dan Bintulu.

– Berita Harian